suria

Jenazah Pelajar USM Dibawa Pulang Selewat-Lewatnya Pagi Esok

Muhamad Izzamir
JAKARTA: Jenazah pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang maut dalam kemalangan bas di Acheh petang Rabu, akan dibawa pulang ke Malaysia selewat-lewatnya pagi Jumaat.

Pengarah Education Malaysia di Indonesia, Prof Madya Dr Juzhar Jusoh berkata, jenazah Muhamad Izzamir Nabihan Abdul Majid, 23, telah dihantar ke Rumah Sakit Umum Sigli, Acheh untuk dimandikan dan dikapankan.

Katanya, jenazah pelajar tahun akhir Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral  USM itu kemudiannya dibawa dengan pesawat dari Banda Acheh ke Jakarta untuk penerbangan ke Kuala Lumpur.

"Menurut perancangan awal, jika jenazah sampai awal di Jakarta, kita akan hantar melalui penerbangan malam ini (Khamis) juga. Jika tidak sempat, kita akan gunakan penerbangan awal pagi esok (Jumaat)," katanya ketika dihubungi, di sini, Khamis.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan jenazah tersebut tiba di Kuala Lumpur selewat-lewatnya pagi Jumaat.

Penerbangan terakhir dari Jakarta ke Kuala Lumpur ialah pada pukul 11 malam waktu tempatan, manakala penerbangan awal pagi ialah pada pukul 4 pagi.

Juzhar berkata, beliau difahamkan, dari Kuala Lumpur, jenazah Muhamad Izzamir Nabihan akan dibawa ke kampungnya di Pulau Pinang untuk urusan pengebumian.

Dalam kemalangan pukul 7 malam waktu tempatan semalam, Muhamad Izzamir Nabihan bersama 23 orang lagi anggota rombongan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM dalam perjalanan pulang daripada lawatan ke kawasan perlombongan arang batu di Geumpang, Acheh.

Bas yang dinaiki rombongan itu dikatakan hilang kawalan ketika mengelak sebuah kereta semasa menuruni kawasan yang curam sebelum terbalik dan terjunam ke dalam gaung.

Muhamad Izzamir Nabihan meninggal dunia semasa dirawat di Pusat Kesihatan Masyarakat Geumpang, Acheh, manakala dua pensyarah dilaporkan parah dan menerima rawatan di sebuah hospital umum di kawasan berhampiran.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain