Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata pihaknya bekerjasama dengan polis untuk memantau dan mengawal situasi bagi mengelakkan kejadian yang boleh menggugat keselamatan orang ramai dan merosak harta benda awam ekoran daripada himpunan berkenaan.
"Himpunan kali ini mereka (pembangkang) tidak membuat permohonan. Peserta himpunan ini bukan sahaja berada pada satu-satu kawasan malahan mereka akan bergerak ke tempat-tempat lain.
"Walaupun menghadapi sedikit kesukaran dalam keadaan seperti itu namun kami akan beri perhatian terhadap kesiapsiagaan anggota (penguat kuasa) DBKL), " katanya pemberita selepas merasmikan Pertubuhan Kesepakatan Anak Watan (SEPAKAT).
Dalam pada itu, Ahmad Phesal berkata penganjur #KitaLawan perlu memikirkan kesan negatif penganjuran himpunan berkenaan yang boleh mencemar imej negara di mata dunia.
"Kita sedia maklum tahun ini negara kita menjadi Pengerusi ASEAN. Saya amat berharap elok mereka (penganjur) berfikir," katanya.
Sekretariat #KitaLawan memutuskan himpunan di hadapan Sogo diadakan setiap hari Sabtu pada pukul 4 petang dan ia akan diteruskan biarpun tangkapan polis dibuat terhadap peserta pada minggu lepas.
Himpunan itu dianjurkan bagi menyatakan sokongan kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.