suria

7 Pedagang Hidupan Liar Haram Beroperasi Melalui Facebook Ditahan

PETALING JAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan tujuh pedagang hidupan liar yang beroperasi secara haram menggunakan laman sosial Facebook.

Pengarah penguatkuasaan Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kesemua pedagang haram ditahan di bawah "Operasi Taring" yang bermula 2 Januari lalu dan haiwan yang dirampas bernilai kira-kira RM80,000.

Antara hidupan yang dirampas adalah buaya air masin, helang lebah, anak beruang, musang dan kongkang.

"Kesemua pedagang yang ditahan merupakan antara pemain utama dalam dagangan haram ini dan kami menyifatkan penahanan mereka akan melemahkan hubungan antara mereka dalam dagangan haram.

"Dengan penahanan ini, kita berupaya mengawal dan membanteras dagangan haram yang semakin berleluasa yang kini beroprasi menerusi Facebook," katanya pada sidang media, Jumaat.

Abdul Kadir berkata, Perhilitan turut merampas tiga kenderaan yang digunakan oleh suspek.

"Kenderaan ini telah disita di bawah Seksyen 110 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), manakala mereka yang didapati memiliki hidupan liar yang dilindungi ini akan didakwa di bawah Seksyen 68 (Akta 716) akta yang sama.

"Tertuduh akan berhadapan dengan denda RM100,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan dagangan hidupan liar haram supaya tampil membuat aduan menerusi laman web Perhilitan atau menghubungi talian hotline di 1300-80-1010 atau 1800-88-5151.

Perhilitan, hidupan liar

Artikel Lain