suria

Ibu Maafkan Wanita Langgar Anak Hingga Maut

KUALA LUMPUR: Bersemuka dengan pemandu kenderaan yang didakwa merempuh hingga mengorbankan anaknya benar-benar menguji hati seorang ibu.

Difahamkan seorang pelajar Nazirul Amin Nazri, 16, maut serta-merta ditempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta berhampiran persimpangan lampu isyarat di Jalan 34/26, Taman Sri Rampai, Setapak, di sini pada kira-kira pukul 7.30 malam, Jumaat.

Pembonceng motosikal Nazirul yang juga berusia 16 tahun terselamat dalam kemalangan itu namun mengalami cedera parah.

Kedua-dua remaja lelaki itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur.

Ketika ditemui di bilik mayat, ibu mangsa Nik Rahimah Nik Hussin, 39, berkata Nazirul sudah tidak bernyawa ketika dia tiba di tempat kejadian.

"Pemandu kereta Proton Saga bertanya sama ada remaja yang meninggal dunia itu adalah anak saya. Apabila saya menjawab 'ya', dia meminta maaf banyak-banyak kepada saya.

"Tak ada apa yang boleh dikata atau dilakukan, Nazirul sudah mati.

"Saya tidak mahu marah dan saya bukan jenis yang menyimpan dendam. Saya serahkan semuanya kepada Allah," kata suri rumah itu dengan linangan air mata.

Menurut Nik Rahimah, Nazirul merupakan anak kedua daripada lima beradik.

Suaminya, Nazri Zakaria juga tertekan dengan kematian anak mereka itu.

Difahamkan pemandu kereja jenis Proton Saga itu telah ditangkap bagi membantu siasatan berhubung kemalangan tersebut.

Kemalangan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain