KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor telah memohon perlanjutan selama sebulan bagi tarikh memuktamadkan Perjanjian Jual-Beli penyerahan perniagaan konsesi air Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kepada kerajaan negeri tersebut, kepada 9 April, menurut Syabas. Pengerusi Eksekutif Syabas dan PNSB, Tan Sri Rozali Ismail berkata sebelum ini tarikh memuktamadkan perjanjian itu ditunda dua kali iaitu pada 9 Februari 2015 dan 9 Mac 2015, berikutan kegagalan dalam menyempurnakan kesemua syarat duluan di bawah perjanjian bersyarat November 2014 itu. Permohonan tersebut akan dibincangkan di peringkat pengurusan Syabas dan PNSB sebelum dipertimbangkan oleh Lembaga Pengarah Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB), katanya dalam kenyataan dibacakan Ketua Pegawai Operasi Syabas Datuk Lee Miang Koi kepada pemberita selepas Program Pelanggan Prihatin syarikat itu di sini Sabtu. PHHB adalah pemegang 100 peratus saham dalam PNSB dan 70 peratus saham dalam Syabas. Walau demikian, Rozali berkata Syabas dan PNSB akan terus mengurus loji rawatan dan pengagihan air kepada pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, tidak kira pengurusan air bertukar tangan atau tidak. "Saya berharap pihak kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Selangor dapat berunding segera untuk menyelesaikan sebarang masalah yang berlaku dan mengambil kira kebajikan dan kepentingan rakyat untuk mendapatkan kemudahan bekalan air bersih dengan sempurna," katanya. Menurut Rozali, proses penstrukturan semenjak 2008 banyak meninggalkan kesan secara langsung dan tidak langsung terutamanya dalam aspek perancangan projek baharu, penggantian paip-paip lama daripada jenis Asbestos Cement sepanjang 6,423 km yang uzur dan rosak. Kerja-kerja penggantian paip-paip lama, program menaik taraf sistem sedia ada dan program lain tergendala demi menunggu penstrukturan semula konsortium itu kepada Kerajaan Negeri Selangor selesai. Beliau berkata keadaaan ini menyebabkan kadar kehilangan air tanpa hasil masih berada di antara 30-35 peratus, sedangkan ia boleh dikurangkan jika semua program yang dirancang dapat dilaksanakan. Beliau menekankan rezab bekalan air terawat untuk pengguna di kawasan yang terlibat berada pada sekitar satu peratus (0.72 peratus pada Januari dan 0.68 peratus pada Februari) dan negatif pada waktu puncak. "Tanpa pelaksanaan projek Langat 2 dan projek lain, untuk menambah kapasiti bekalan air terawat, adalah sedih dan malang bagi pengguna kerana mereka akan menghadapi masalah kekurangan air terawat, tekanan rendah serta gangguan bekalan air pada bila-bila masa. "Saya berharap semua pihak dapat mengetepikan kepentingan peribadi dan meletakkan kepentingan rakyat dan pengguna, serta kemajuaan negara sebagai keutamaan demi masa depan generasi akan datang," kata Rozali.