suria

Ops Catut Buru Peniaga Ingkar Selepas Pelaksanaan GST

PUTRAJAYA: Operasi Antipencatutan atau Ops Catut akan memasuki fasa kedua bermula 2 April depan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad pada Ahad.

Beliau berkata, ia akan dilakukan sehari selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan pada 1 April.

Alias berkata, ia bertujuan untuk memastikan peniaga tidak menaikkan harga tidak munasabah selepas pelaksanaan GST.

Menurutnya, fasa kedua itu akan menyaksikan sejumlah 1,800 pegawai penguatkuasa termasuk yang digerakkan oleh Jabatan Kastam, manakala kira-kira 200,000 orang awam akan menjadi mata dan telinga buat kementerian itu.

Sejumlah 451,794 premis diperiksa antara 15 Januari dan 11 Mac semasa fasa pertama Ops Catut.

"Peniaga yang didapati bersalah kerana menaikkan harga barang dan perkhidmatan selepas pelaksanaan GST akan dikenakan hukuman di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya selepas merasmikan Hari Hak Pengguna Sedunia 2015 di kementerian itu di sini, Ahad.

Tambah Alias, pengguna perlu mengetahui hak mereka dengan membuat aduan kepada kementerian sekiranya peniaga didapati menaikkan harga secara keterlaluan.

Ops Catut, KPDNKK, GST

Artikel Lain