suria

Jabatan Bomba Berusaha Rungkai Misteri Kehilangan Peralatan Lama

Wan Mohd Nor Ibrahim.

MELAKA: Sebuah muzium yang mempamerkan peralatan dan jentera lama yang digunakan oeh anggota bomba tempatan pada zaman dahulu di Dataran Merdeka di sini didapati hilang sehingga menimbulkan tanda tanya Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Hanya bangunan berkenaan sahaja yang tinggal manakala kesemua kandungan dan papan tanda hilang.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, kehilangan kandungan yang digunakan untuk dipamerkan di muzium itu menjadi misteri dan usaha sedang dijalankan untuk mencarinya.

Beliau berkata, jabatan itu menyedari bahawa muzium tersebut masih beroperasi sehingga 2000 di bawah pengurusan agensi kerajaan negeri.

"Kita tidak tahu bila sebenarnya muzium itu ditutup dan di manakah kesemua barang di dalamnya. Kita akan mendapatkannya kembali untuk kita dapat mendirikan muzium kita sendiri," katanya selepas menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan oleh Balai Bomba Jalan Kubu malam Sabtu.

Beliau berkata, jabatan itu akan berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan di negeri itu mengenai bagaimana untuk mendapatkan semula peralatan yang dipercayai disimpan di tempat lain.

Mohd Nor berkata, beliau turut menyokong cadangan yang dibuat oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Nazili Mahmood untuk menjadi Balai Bomba Jalan Kubu yang terletak berhampiran dengan Jonker Walk, sebagai galeri Bomba dan Penyelamat.

"Jika kita dapat menemui semula peralatan dan jentera yang hilang, kita akan pamerkannya di Jalan Kubu. Ini juga akan menambahkan lagi tumpuan pelancong ke negeri ini dan melengkapkan Melaka sebagai bandar bersejarah," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan