LANGKAWI: Kerajaan Kedah berkeyakinan Kementerian Pertahanan akan menanggung sebarang bayaran ganti rugi terhadap kemusnahan sebuah rumah dan beberapa kenderaan akibat insiden pesawat terhempas di Langkawi pada Ahad. Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Manusia, Pelancongan Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata menjadi kelaziman Kementerian Pertahanan membayar ganti rugi apabila terdapat insiden ketika Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA). "Bayaran ganti rugi (ketika LIMA) itu adalah biasa kerana sebelum ini terdapat insiden ada haiwan ternakan seperti lembu mati terkejut akibat bunyi kuat pesawat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi. Mohd Rawi juga merupakan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat di kawasan Parlimen Langkawi. Dalam kejadian pada 2.04 petang semalam, dua pesawat milik pasukan aerobatik Jupiter dari Indonesia terhempas selepas bergeser sesama sendiri ketika menjalani latihan untuk LIMA '15. Serpihan daripada salah sebuah pesawat itu mengenai rumah penduduk di Kedawang, mengakibatkan rumah, kereta dan motosikal pemiliknya terbakar.