Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa tahun lalu saja aktiviti purata harian bagi pasaran ringgit berjumlah AS$11.8 bilion (RM43.71 bilion).
"Jika berdasarkan jumlah transaksi yang begitu besar, kemungkinan bagi seorang individu untuk pengaruhi nilai ringgit adalah amat kecil," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang diedarkan di lobi Parlimen, di sini Isnin.
Lim bertanya mengenai laporan beberapa blog yang mendakwa terdapat individu terlibat dalam memanipulasikan mata wang untuk keuntungan peribadi dan mensabotaj ekonomi negara.
"Dalam keadaan pergerakan nilai mata wang ringgit sedia ada, ekonomi negara tidak tergugat dengan aktiviti sabotaj kewangan atau ekonomi sebegini kerana ekonomi kekal berada pada landasan pertumbuhan yang mapan," katanya.