Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata senarai pegawai dan anggota telah dikenal pasti dan butiran lanjut akan dimaklumkan kelak.
Beliau berkata pasukan itu akan mengawasi seluruh garis sempadan Malaysia-Thailand dalam negara dari Padang Besar sehingga ke Rantau Panjang.
"Mereka ini akan beri fokus kepada tiga perkara, pertama penyeludupan manusia, kedua senjata api dan ketiga dadah," katanya dalam sidang media di sini, Isnin.
"URS ditubuhkan khas memberi fokus mengenai risikan dan memproses hasil diperoleh manakala PGA lebih kepada kawalan keselamatan sempadan," katanya.
Noor Rashid yang mengakui sempadan kedua-dua negara yang panjang sememangnya memudahkan ia dibolosi, menarik perhatian bahawa selain menubuhkan pasukan khas itu, pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia sedia ada di sempadan akan terus dimantapkan.