LANGKAWI: Ancaman yang dicetuskan oleh pengganas dan kumpulan militan perlu ditangani melalui penyatuan usaha semua tentera laut, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata, pasukan tentera laut dari pelbagai negara tidak perlu menunggu sehingga bencana atau tragedi melanda sebelum mengambil keputusan untuk menggabungkan tenaga. "Justeru, adalah penting bagi kita untuk membina hubungan, untuk melibatkan diri, membuat jangkaan awal kerana keganasan dan militan di luar sana adalah musuh semua tentera laut," kata beliau dalam ucaptama pada Rundingan Meja Bulat Panglima Tentera Laut yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini, Selasa. Perbincangan meja bulat bertemakan 'Meningkatkan Peranan bagi Tentera Laut dan Rakan ASEAN dalam Keselamatan Maritim' diadakan bersempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2015 (Lima'15). Hishammuddin berkata, beliau memilih untuk memberi penekanan tentang pentingnya usaha mengekang keganasan dan fahaman radikal kerana kedua-duanya dilihat sebagai ancaman baharu yang tercetus pada abad ke-21.