LANGKAWI: Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Indonesia pada Selasa menyerahkan sumbangan sebanyak SG$15,000 (kira-kira RM40,000) kepada pemilik rumah yang musnah akibat nahas pesawat aerobatik Jupiter milik Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI-AU), Ahad lepas. Sumbangan itu disampaikan Wakil Ketua MPR Dr Oesman Sapta kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai wakil kepada mangsa, Zulkeflee Abu Talib, 46. Oesman berkata sumbangan itu diberikan atas keprihatinan MPR terhadap mangsa yang kehilangan rumah akibat kecelakaan itu. "Saya menyerahkan atas nama MPR sebagai turut berduka atas kecelakaan yang menimpa rakyat Malaysia dan semoga sumbangan ini dapat meringankan mangsa dalam membaiki rumahnya," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek sumbangan berkenaan. Sementara itu, Dr Mahathir yang menerima sumbangan itu mengucapkan terima kasih kepada MPR. "Sumbangan ini sudah cukup untuk membantu membina semula rumah mangsa," katanya. Ahad lepas, dua pesawat Jupiter Aerobatic Team milik AU-TNI terhempas ketika melakukan latihan aerobatik sempena LIMA '15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pada 2.04 petang dan merosakkan sebuah rumah di Kampung Gelam, di sini. Nahas berlaku ketika sekumpulan enam pesawat jenis KT-1B itu sedang melintasi ruang udara MIEC, sebelum dua daripadanya bergesel sayap di udara dan terhempas di Pemandangan Indah, Padang Mat Sirat dan Kampung Gelam, Kendawang berhampiran lapangan terbang. Kesemua empat juruterbang berjaya melentingkan diri sebelum pesawat terhempas.