KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam berkata parti itu akan tetap mengadakan pemilihan semula walaupun terdapat pihak memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sebelum ini. Beliau berkata parti itu telah bersiap sedia untuk mengadakan pemilihan semula dan akan menerima sebarang keputusan Mahkamah Tinggi yang akan diumumkan Jumaat ini. "Terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan. Apa jua keputusan mahkamah, kami akan berpegang kepada keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Interim 2009, yang telah bersetuju agar pemilihan semula parti diadakan," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Selasa. Jumaat ini, Mahkamah Tinggi akan menentukan sama ada semakan kehakiman bagi membatalkan arahan RoS yang difailkan oleh Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel dan beberapa pemimpin MIC berhubung arahan untuk mengadakan pemilihan semula parti itu. Krisis dalaman MIC tercetus selepas RoS membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada November 2013. Dalam surat bertarikh 5 Disember 2014, RoS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam tempoh 90 hari. Bagaiamanapun Palanivel, pada 14 Februari lepas, telah meminta RoS menarik balik semua surat kerana mendakwa ia bercanggah dengan perlembagaan parti dan akta pertubuhan serta mengancam mengambil tindakan undang-undang jika RoS tidak berbuat demikian. Mengulas lanjut, Subramaniam berkata walaupun setiap ahli parti mempunyai hak untuk mengheret perkara tersebut ke mahkamah, mahkamah tidak semestinya akan mengumumkan keputusannya dalam tempoh terdekat. "Kadangkala ia mengambil masa sehingga setahun untuk menyelesaikan satu-satu kes. Kita harus bersiap sedia untuk mengadakan pemilihan semula," katanya. Ketika ditanya sama ada pemimpin MIC akan mengadakan debat terbuka untuk menjelaskan krisis dalaman parti yang sedang berlaku, Subramaniam berkata adalah lebih baik sekiranya perkara tersebut diselesaikan melalui perbincangan secara tertutup. "Ini bukanlah persengketaan antara Barisan Nasional dan pembangkang. Ini masalah dalaman parti. Kita harus menyelesaikannya secara berhemah, seperti sebuah keluarga," katanya.