KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan di Nanning, China sedang menjalankan siasatan mengenai insiden kebocoran gas yang mengorbankan lima rakyat Malaysia pada malam Ahad, menurut Wisma Putra. Kelima-lima lelaki warga Malaysia itu dilaporkan meninggal dunia akibat keracunan gas karbon monoksida sementara seorang wanita rakyat Malaysia terselamat dalam insiden itu. "Pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat insiden ini, dan para pegawai dari Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming sedang berusaha untuk memberi apa-apa bantuan yang perlu," menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Rabu. Mereka yang meninggal dunia ialah Chin Yoke Weng, 61; Seah Foon Hong, 48; Tay Chong Chai, 42; Tan Bian Chiang, 41; dan Ng Wei Shan, 28; sementara wanita yang terselamat ialah Lim Ching Lin. Dilaporkan mereka dipercayai terhidu gas beracun yang bocor semasa menginap di sebuah apartmen di sana. "Kementerian Luar (Wisma Putra) ingin merakamkan simpati dan ucapan takziah kepada anggota keluarga mangsa," menurut kenyataan itu. Menurut Wisma Putra, kumpulan itu berada di Nanning untuk urusan perniagaan dan mereka memasuki China dari Guangzhou pada Ahad, 15 Mac sebelum menuju ke Nanning pada hari yang sama.