LANGKAWI: Semua mata tertumpu kepada pasukan aerobatik Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) dari China apabila kesemua juruterbang angkatan tentera udara republik itu yang melakukan aksi dengan jet pejuang Chengdu J-10 di sini adalah wanita. Empat wanita itu teruja dapat mengambil bahagian dalam pameran maritim dan aeroangkasa yang terkenal di dunia, yang sedang berlangsung di Langkawi. Yu Xu, Tao Jiali, He Xiaoli dan Sheng YiFei, semuanya berusia 28 tahun, berjanji memberikan persembahan yang tidak dapat dilupakan kepada penonton. Xiaoli berkata LIMA adalah platform yang baik untuk mereka belajar daripada juruterbang negara-negara lain. "Ia merupakan satu pengalaman yang mampu membuka mata kami," katanya dalam satu wawancara, Selasa. Empat juruterbang ini adalah sebahagian daripada pasukan aerobatik August First tentera udara PLA. Langkawi adalah lokasi kedua mereka membuat persembahan di luar negara selepas Pameran Aeroangkasa dan Penerbangan Antarabangsa Moscow pada tahun 2013. Ia juga adalah penerbangan sulung empat juruterbang di luar negara. China menggunakan tujuh jet pejuang J-10 untuk LIMA 2015. Setelah menyertai angkatan udara pada tahun 2005, keempat-empat mereka telah mengumpul lebih dari 800 jam pengalaman penerbangan. "Kami berlatih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestasi dan menerbangkan jet pejuang memerlukan kami supaya sentiasa sihat dan bersedia," kata Yu. "Sebagai wanita, kami perlu berusaha lebih dan meningkatkan latihan fizikal untuk menahan tekanan pada badan." "Aksi dalam pertunjukan aerobatik adalah sangat mencabar dan berisiko. Kami perlu tepat dan tenang apabila melaksanakan pergerakan. "