SINGAPURA: Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menahan dua pemandu lelaki warga Malaysia pada Isnin kerana cuba menyeludup tembakau dan rokok yang belum dijelaskan duti dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) bernilai S$155,330 (RM413,180) di Pusat Pemeriksaan di Tuas dan Woodlands. Kedua-dua lelaki yang berusia 46 dan 42 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan. Dalam kenyataan pada Selasa, ICA berkata pegawainya membuat pemeriksaan rutin ke atas lori treler yang berdaftar di Malaysia itu, yang membawa konkrit pratuang, sebaik ia tiba di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 5.45 pagi. Hasil pemeriksaan itu, pegawai ICA menemui dua beg sampah hitam yang disorok di tempat penyimpanan alat kenderaan. Beg itu mengandungi 8,220 paket tembakau kunyah 'Hans Chhap'. Pada 6.15 pagi hari sama, di Pusat Pemeriksaan Woodlands, seorang lagi pemandu rakyat Malaysia ditahan selepas pemeriksaan oleh pegawai ICA menemukan anomali dalam imej imbasan dan melakukan pemeriksaan terperinci. Konsainmen barangan itu diisytiharkan kusyen tempat duduk belakang dan tempat duduk kenderaan. Bagaimanapun semasa pemeriksaan itu, pegawai ICA menemukan 1,549 karton rokok yang belum dibayar duti, yang dibungkus dalam konsainmen itu.