suria

Tiada Pusingan 'U' Dalam Pelaksanaan GST - Wee

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan menarik balik keputusan untuk melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (CBP) mulai 1 April depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong.

"Kami berada dalam mod menunggu peringkat pelaksanaannya. Saya tidak berpendapat kita akan melihat pusingan-U," katanya kepada pemberita selepas melancarkan forum CBP di sini, Rabu.

Wee mengulas laporan akhbar tempatan pada Selasayang CBP mungkin ditangguh berikutan beberapa isu yang belum selesai berkenaan pelaksanaannya.

Menurutnya, pihak berkuasa berkaitan akan menyelesaikan semua isu yang tertangguh sebelum tarikh pelaksanaan CBP dan mengakui pada peringkat awalnya tidak semua pihak akan mematuhi sepenuhnya.

"Mungkin terdapat kekeliruan di kalangan peniaga pada peringkat awal. Tetapi saya percaya pihak berkuasa akan bertolak-ansur ke arah pematuhan sepenuhnya.

"Dalam kes (peniaga) secara tidak sengaja terlepas pandang beberapa isu, pihak berkuasa akan menggunakan pendekatan pendidikan," tambah Wee.

Beliau juga memberi amaran yang tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah melakukan pencatutan.

"Denda terhadap peniaga yang melanggar Akta Kawalan Harga adalah di antara RM1 juta hingga RM2 juta," katanya ketika mengulas mekanisme antipencatutan dan penguatkuasaan.

Sementara itu, forum sehari prapelaksanaan CBP bertajuk 'Cabaran dan Peluang' itu menyaksikan penyertaan hampir 2,000 ahli perniagaan, jumlah yang disifatkan Wee sebagai dahagakan penjelasan.

Forum itu dianjurkan Persatuan Belia Xiang Lian, Malaysia.

Ia dianjurkan bersama Biro Perusahaan Kecil dan Sederhana Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Jawatankuasa Perundingan Ekonomi MCA dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

GST, MCA

Artikel Lain