suria

Wanita Terlibat 10 Kes Ragut Dan Tipu Dicekup

SANDAKAN: Polis berjaya menyelesaikan sepuluh kes curi dan tipu membabitkan mangsa warga emas, dengan tertangkapnya seorang wanita berusia 39 tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan Supt Fadzil Mohd Ali berkata wanita terbabit ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Batu 4 dekat sini pada 1 Mac lepas.

Katanya beberapa barangan turut dirampas daripada wanita berkenaan termasuk barangan kemas bernilai RM8,000.

"Enam kes curi dan empat kes tipu dilaporkan berlaku antara 27 Jun 2013 hingga 22 Januari lepas di sekitar Bandar Sandakan, Bandar Ramai-Ramai, Jalan Leila, Batu Sapi, Bandar Kim Fung dan Bandar Indah," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Beliau berkata modus operandi wanita itu adalah menarik perhatian mangsa dengan berpura-pura mengenali mereka dan menghulurkan bantuan rawatan atau memberi hadiah.

Katanya wanita itu menggunakan banyak helah untuk memperdayakan mangsa antaranya meminta mangsa menanggalkan barangan kemas yang dipakai dan menyimpan dalam beg tangannya ketika mangsa hendak ke tandas.

Peluang itu digunakan oleh wanita itu untuk mengambil beg tangan mangsa dan menghilangkan diri, jika gagal melalaikan mangsa, wanita itu akan melakukan ragut dan melarikan diri, katanya.

Fadzil berkata wanita berkenaan yang sudah berkahwin tidak mempunyai rekod jenayah masih ditahan reman sebelum dihadapkan ke mahkamah.

Ragut, Tipu, Polis

Artikel Lain