suria

Hudud: Najib Akan Umumkan Pendirian BN Esok - Liow

Liow Tiong Lai.
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan pendirian parti itu berhubung pelaksaan hukum hudud di Kelantan pada Jumaat.

Pengumuman yang akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dilihat sebagai pengukur sama ada undang-undang Islam itu akan diluluskan apabila dibentangkan di Parlimen nanti.

“Berhubung dengan isu hudud, kita sudah berbincang dan Perdana Menteri akan mengeluarkan kenyataan rasmi parti esok,” kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama 14 pemimpin utama parti komponen BN di bangunan Parlimen di sini, Khamis.

DUN Kelantan pada Khamis meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri ini.

Bagaimanapun rang undang-undang itu hanya boleh dilaksanakan selepas diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Kerajaan PAS Kelantan perlu membawa usul persendirian melalui seorang Ahli Parlimen sebelum ia dibentangkan.

Sementara itu pada sidang media yang sama, Liow mengumumkan pendirian parti komponen BN menyokong pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri.

“Semua pemimpin komponen berada di sini untuk menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Najib,” katanya.

Sementara itu Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata sokongan itu dibuat bagi menangkis sebarang spekulasi mengenai pentadbiran Najib.

“Ia bertujuan mengelak sebarang spekulasi yang tidak sepatutnya,” katanya yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Sebelum ini Najib menerima krtitikan termasuk daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Susulan itu, sejumlah 160 ketua Bahagian Umno seluruh negara turut menyatakan sokongan sepenuhnya kepada pemgerusi BN itu.

hudud, BN, Liow Tiong Lai, Najib Razak

Artikel Lain