Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, berdasarkan aturan mesyuarat pada sesi persidangan kali ini, rang undang-undang persendirian itu tiada dalam senarai usul.
“Mungkin tidak sempat sebab jadual kita sudah penuh.
“Pada 9 April ini Parlimen sudah habis bersidang. Tapi macam mana pun kita tengok senarai, dalam senarai tiada," kata Shahidan ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, Khamis.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Arau itu berkata, perkara itu seharusnya dirujuk kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
"Saya ingat ia terpulang kepada Speaker, ini rang undang-undang persendirian,” katanya.
Mesyuarat pertama penggal ke-13 Parlimen kali ini bermula 9 Mac lalu dan akan berakhir 9 April hadapan.
Dewan Rakyat akan bersidang semula bermula 18 Mei hingga 18 Jun depan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata pindaan hudud yang akan dibawa ke Parlimen hanya memerlukan notis dalam tempoh 14 hari dan akan diusahakan untuk dibentangkan dalam kadar segera.
Beliau mengharapkan enakmen ini dapat dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum tamat sesi Sidang Rakyat pada kali ini.