KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Islam daripada Umno akan mengundi mengikut 'conscience' (suara hati) masing-masing jika PAS membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat untuk melaksana hudud di Kelantan. Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata oleh kerana ini hal berkaitan kepercayaan dan agama, Umno tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada wakil-wakil rakyatnya. Mereka perlu membuat keputusan sendiri, katanya. "Suara hati termasuk (mengambil kira) apa yang terbaik untuk rakyat dan negara dan bukan apa yang terbaik untuk diri anda kerana anda mewakili rakyat," kata Shahrir kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat, Rabu. Shahrir ditanya sama ada Umno akan memberi sokongan kepada PAS supaya ia mendapat majoriti mudah di Dewan Rakyat bagi rang undang-undang tersebut.\ Anggota Parlimen Johor Baharu itu berkata: "Kita bukan robotik, kita tidak selalu kata ini dasar parti. "Kita mesti mengambil kira apakah kepentingan rakyat".