PETALING JAYA: Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) bimbang Pakatan Rakyat akan retak selepas Kelantan meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada Khamis. Presidennya, Datuk Pharolrazi Zawawi berkata, jurang antara PAS dan parti gabungan terutama DAP terlalu besar ketika ini dan beliau hanya menjangkakan keretakan dalam pakatan pembangkang itu. "Diharap mereka dapat menyelesaikan isu semasa untuk memastikan kewujudan Pakatan Rakyat, tetapi buat masa ini saya percaya ia sesuatu yang sukar," katanya kepada Star Online. Beliau berkata, PAS berhak untuk membentangkan undang-undang berkaitan hudud kerana ia agenda utama mereka sebelum kewujudan Pakatan Rakyat tujuh tahun lalu. "Hudud adalah isu lama untuk PAS, manakala DAP pula menegaskan pendirian mereka mengenainya. Jurang antaranya terlalu besar ketika ini," katanya. Apabila ditanya apa yang PasMa akan lakukan jika berlaku keretakan itu, Pharolrazi berkata, sebaiknya tunggu apabila waktunya tiba. "Kami di PasMa menyokong Pakatan Rakyat dan berharap mereka dapat menyelesaikan isu yang timbul, jika tidak Barisan Nasional akan bertambah kuat," katanya.