suria

Lima 2015 Tarik Lebih 130,000 Pengunjung - Hishammuddin

Sebahagian pengunjung Lima 2015 pada hari terakhir ia berlangsung, Sabtu.

LANGKAWI: Jumlah pengunjung ke Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (Lima'15) mencatat rekod baharu pada hari terakhir pameran terkemuka itu diadakan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jumlah orang ramai yang melawat Lima kali ini dijangka melebihi 130,000 orang yang dicatat pameran serupa dua tahun lepas.

Dalam ucapan penutupan ringkas yang dibaca timbalannya Datuk Abdul Rahim Bakri, Hishammuddin berkata jumlah keseluruhan pengunjung sepanjang pameran tiga hari yang diadakan untuk industri utama (Selasa hingga Khamis) ialah 39,684.

Katanya, jumlah orang ramai yang mengunjungi segmen aeroangkasa sehingga semalam ialah 50,826, manakala 35,855 melawat segmen maritim di Awana Porto Malai.

"Pameran ini diadakan di sekitar Langkawi sejak 25 tahun lepas dan pameran tahun ini yang turut mengandungi program aktiviti, pertunjukan maritim dan udara serta pameran statik merupakan yang paling memberi kesan setakat ini," kata Hishammuddin.

Beliau menyifatkan Lima'15 sebagai edisi terbesar dan terbaik setakat ini serta memecah rekod kerana mempamerkan 110 pesawat udara, lima pasukan aerobatik, 65 kapal dan bot perang serta 512 pempamer dari 36 negara, 266 daripadanya adalah dari Malaysia.

Katanya, jumlah itu jauh mengatasi edisi sebelum ini, manakala perkembangan kukuh yang dicatat itu menunjukkan Lima dianggap secara meluas sebagai platform pilihan utama dan pintu masuk ke Asean.

Hishammuddin menjangka peningkatan sebanyak 10 peratus akan dicapai pada Lima akan datang, yang dijadual berlangusng pada Mac 2017.

Lima'15 juga menyaksikan kontrak bernilai RM9.29 bilion dicapai melalui memorandum persefahaman yang ditandatangani, melebihi RM4.27 bilion yang ditandatangani pada Lima'13 dan menunjukkan peningkatan sebanyak 121 peratus, katanya.

Di samping menjadi platform bagi perniagaan, tujuh persidangan dan aktiviti berimpak tinggi turut diadakan, termasuk Rundingan Meja Bulat Panglima-panglima Tentera Laut, Sidang Kemuncak Penerbangan Asean, Persidangan Ketua-ketua Udara Lima'15, Forum Terbuka Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi dan Forum Perniagaan Asean. -- Bernama

Artikel Lain