suria

SPAD Perlu Kaji Semula Kenaikan Tambang Pengangkutan Awam

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak pada Jumaat mendesak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya mengkaji semula langkah menaikkan tambang pengangkutan awam yang dilihat membebankan rakyat.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, beliau memandang serius perkara itu dan berharap ia dikaji semula memandangkan kenaikan kadar tambang antara 20 hingga 67 peratus adalah tinggi.

"SPAD seharusnya mengadakan perbincangan bersama dengan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi mendapat satu keputusan yang baik.

"Kita tidak seharusnya membebankan rakyat terutama mereka yang menggunakan pengangkutan awam dalam urusan harian mereka, kerana jika ia diteruskan, ini akan meningkatkan kos perbelanjaan mereka," katanya dalam satu kenyataan. 

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata atas alasan apa sekalipun kenaikan tambang pengangkutan awam itu masih tidak relevan dan perlu dikaji semula.

"Kalau dalam keadaan harga minyak mentah turun, macam mana rakyat mahu percaya kos lain telah meningkat. Kalau mahu disandarkan mahu meninggikan khidmat, kita tidak tahu apa yang mahu ditingkatkan.

"Kalau harga seperti tambang ini meningkat bagaimana harga barangan akan turun. Maklum balas yang kita terima mengenai kenaikan tambang itu adalah tidak baik dan telah mengelirukan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jalinan Rakyat Wanita Umno Johor di Muar.

Razali yang juga Anggota Parlimen Muar berkata beliau secara peribadi sangat terkilan dengan kenaikan tambang berkenaan yang menyifatkan SPAD tidak mengambil kira kepentingan awam dalam membuat keputusan itu.

Pergerakan Pemuda Umno Johor dalam satu kenyataan turut mendesak suruhanjaya itu supaya mengkaji semula kenaikan itu berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata, kenaikan yang terlalu mengejut dan mendadak itu dikhuatiri membebankan rakyat.

"SPAD perlu ambil pendekatan yang bertimbang rasa dan mesra pengguna dalam isu kenaikan harga pengangkutan awam. 

"SPAD seharusnya tampil dengan memainkan peranan sebagai ejen mempromosi kemudahan awam dan bukannya membebankan pengguna dengan harga tambang yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Malaysia (TWU), Tan Sri Zainal Rampak berkata, kenaikan tambang yang terlalu tinggi itu seolah-olah tidak mengambil kira kepentingan rakyat berpendapatan rendah yang menggunakan kenderaan awam sebagai pengangkutan utama. 

"TWU bersetuju dengan kenaikan tambang, tetapi haruslah tidak terlalu tinggi yang akan membebankan rakyat tambahan pula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bermula 1 April ini," katanya dalam satu kenyataan. 

SPAD pada Khamis lalu mengumumkan penyelarasan kadar tambang teksi dan kereta sewa antara 20 hingga 67 peratus manakala bas ekspres pula naik 22.6 peratus bermula 15 Mei ini.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, penyelarasan kadar tambang itu dibuat selepas mengambil kira keperluan pihak pengusaha yang terbeban dengan kenaikan harga barang dan kepentingan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu.

SPAD

Artikel Lain