suria

Operasi Kilang Burger Terhenti Selepas Kebocoran Amonia

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR: Kilang Burger Ramly di Taman Batu Muda di sini terpaksa menghentikan operasi lebih kurang sejam pagi Ahad selepas berlaku kebocoran gas amonia.

Kejadian disedari seorang pekerja penyelenggaraan saluran gas berkenaan di tingkat dua kilang itu.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan, A.

Vasudevan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pekerja itu sendiri pada kira-kira 10.35 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian sejurus selepas itu, dan seterusnya melaksanakan kerja dekontaminasi selama kira-kira sejam.

"Kami juga mendapati badan pekerja itu mempunyai kesan kemerah-merahan dipercayai akibat tindak balas peluh dan gas amonia berkenaan," katanya sambil memberitahu lelaki itu dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan.

Vasudevan yang dihubungi Bernama berkata, terdapat 15 pekerja di tingkat bawah dan tiada pekerja di tingkat atas, tempat kebocoran gas berlaku.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Seramai 15 anggota termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba Gombak Selatan dan Hang Tuah dihantar ke tempat kejadian.


Artikel Lain