suria

Kit Siang Cadang Pakatan Baharu Bentuk Kerajaan Malaysia

Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR: Pembentukan kerajaan baharu melibatkan Ahli Parlimen di kalangan parti kerajaan dan pembangkang wajar bagi mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Turut dicadangkan pelantikan perdana menteri baharu.

Perkara itu disampaikan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam majlis makan malam Ulangtahun DAP Bukit Bintang, Ahad malam.

Menurut Kit Siang seperti yang dipetik dari Roketkini.com,  kemelut di pihak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat semakin meruncing serta langkah untuk mengemukakan usul persendirian bagi melaksanakan hudud di Kelantan oleh PAS akan menimbulkan krisis Perlembagaan, khususnya jika Umno menyokong enakmen berkenaan.

“Jika enakmen hudud kerajaan PAS Kelantan diluluskan menerusi dua usul persendirian di Parlimen dengan majoriti mudah, pelaksanaan undang-undang itu akan bertentangan dengan Perlembagaan dan boleh dicapai di mahkamah kerana bertentangan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berkenaan ‘Kesamarataan di sisi undang-undang’.

“Dalam senario politik baharu sedemikian, di mana Najib  (Datuk Seri Najib Run Razak) mengumumkan sokongan Umno terhadap enakmen hudud PAS, mungkin tiba masanya untuk membentuk pakatan ‘Selamatkan Malaysia’ yang terdiri daripada Ahli Parlimen dari parti kerajaan dan pembangkang yang mahu mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dengan seorang perdana menteri dan kerajaan Malaysia yang baharu,” kata Kit Siang.

Menurutnya lagi, perdana menteri baharu boleh dilantik dari mana-mana parti politik kerajaan atau pembangkang yang ada sekarang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu bagaimanapun menegaskan bahawa pendirian tersebut adalah pendirian peribadi beliau dan bukan milik DAP.

“Dengan mengemukakan rang undang-undang persendirian bagi pelaksanaan hudud tanpa mempedulikan sama sekali keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat pada 8 Februari lalu bahawa sebarang rang undang-undang persendirian berkaitan hal itu perlu terlebih dahulu dibentangkan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat, serta sebagai pelanggaran setelah PAS Kelantan melanggar Kerangka Kerja Dasar Bersama Pakatan dengan mengemukakan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan yang kemudiannya diluluskan oleh DUN Kelantan, Pakatan seolah-olah tidak lagi wujud di mata Presiden PAS,” tegas Kit Siang. 


Lim Kit Siang, DAP, Perlembagaan, hudud

Artikel Lain