suria

Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Kecewa Penangguhan Kenaikan Tambang

PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) meluahkan kekecewaan terhadap keputusan Kabinet berhubung penangguhan kenaikan tambang pengangkutan awam.

Presidennya, Tajuddin Mohd Yunus berkata, persatuan itu menantikan berita mengenai kenaikan tersebut sejak 2008 (kali terakhir pelarasan tambang dibuat) tetapi kesemuanya yang didengar adalah "bukan masa yang sesuai" menyebabkan ia ditangguhkan beberapa kali.

"Ditangguh selepas beberapa penangguhan. Pertama kali pada pilihan raya umum ke-13. Kemudiannya pada Hari Raya, selepas itu Tahun Baharu Cina dan sekarang GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) yang akan berkuatkuasa mulai 1 April ini.

"Sebab yang diberikan adalah ia bukan masa yang sesuai. Persoalan saya adalah bila masa yang sesuai?" katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Tajuddin berkata, sebagai pengusaha bas, mereka turut menerima kesan pelaksanaan GST dan penangguhan kenaikan tambang hanya akan menyebabkan sebahagian pengusaha bas berhadapan kesukaran dalam perniagaan mereka.

Tambahnya, apa yang mereka boleh lakukan sekarang adalah melihat apa yang akan diperkatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkara ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali menggesa supaya Kabinet tidak menarik balik keputusan yang dibuat oleh SPAD.

Beliau berkata, peningkatan itu sangat adil yang dikemukan oleh SPAD selepas menjalankan kajian dengan teliti selama dua tahun dan keputusan itu bukannya dibuat hanya dalam satu malam.

Ashfar yang memberikan beberapa isu tertentu seperti diesel bersubsidi yang menggunakan kaedah apung terkawal yang ditentukan oleh kerajaan setiap bulan, GST yang mula dilaksanakan mulai 1 April dan Ringgit yang lemah, berkata adalah wajar bagi SPAD untuk menaikkan tambang bas ekspres.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini menekankan kepada bas ekpres supaya menambahkan lagi ciri keselamatan seperti sistem GPS.

"Semua ini melibatkan perbelanjaan dan orang ramai perlu faham pengusaha bas tidak dapat menambah baik dan menyediakan perkhidmatan berkualiti sekiranya kadar tambang lama masih dikekalkan," katanya.

SPAD, bas ekspres

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan