PUTRAJAYA: Beberapa anggota terkemuka masyarakat termasuk pegawai kanan syarikat perbankan dan media serta selebriti media telah berikrar sebagai penderma organ. Pusat Sumber Transplan Nasional berkata pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Bhd, Ahmad Izham Omar; dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima Bhd, Seelan Paul serta penyampai radio Farah Fauzana antara yang membuat ikrar itu. Turut berikrar ialah pengacara terkenal Faizal Ismail (FBI) dan selebriti Imam Muda Asyraf, yang merupakan Duta Derma Organ. Menurut kenyataan itu, ikrar derma organ bererti seseorang melahirkan hasrat untuk menderma organ selepas meninggal dunia. "Seseorang yang telah berikrar dinasihatkan untuk memberitahu ahli keluarga terdekat mengenai hasratnya. "Berdasarkan peruntukan Akta Tisu Manusia 1974, hanya ahli keluarga berhak memberi kebenaran untuk menderma organ si mati pada saat kematian," katanya. Sehingga ini, lebih 19,000 pesakit memerlukan sumbangan organ. Majlis Fatwa Kebangsaan mengharuskan pendermaan organ.