PUTRAJAYA: Tiga pekerja binaan warga Indonesia maut manakala seorang pekerja Bangladesh cedera apabila lif pengangkut penumpang yang mereka naiki gagal berfungsi dan terjatuh dari tingkat 13 di tapak pembinaan blok kondominium di Presint 15 di sini. Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Putrajaya, DSP Zaihairul Idrus berkata warga Indonesia berkenaan yang merupakan penampal simen, berumur lingkungan 20-an meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan. Beliau berkata warga Bangladesh itu pula merupakan operator lif tersebut berumur sekitar 40-an. Mayat dihantar ke Hospital Putrajaya manakala yang cedera turut dirawat disitu. Kejadian berlaku kira-kira 10.45 pagi Isnin Zaihairul berkata lif itu dipercayai mengalami masalah brek sehingga gagal dikawal dan menyebabkan ia terjatuh. Lif tersebut turut membawa beberapa kampit simen yang dianggarkan seberat kira-kira 1,200 kilogram, katanya. Polis mengklasifikasikan kes sebagai kes kematian mengejut dan pihak kedutaan Indonesia dan Bangladesh telah dimaklumkan mengenai perkara itu. Beliau berkata punca sebenar kemalangan masih disiasat dan kerja-kerjadi kawasan itu dihentikan buat sementara waktu. -BERNAMA