suria

DAP Diminta Kenakan Tindakan Lebih Tegas Kepada Adun Balakong

Eddie Ng Tien Chi.
KUALA LUMPUR: Pimpinan DAP digesa mengambil tindakan lebih tegas terhadap anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong Eddie Ng Tien Chi yang terlibat dalam aktiviti judi di tempat awam baru-baru ini, yang hanya dikenakan tindakan penggantungan selama tiga bulan.

Beberapa anggota dan bekas anggota parti hari ini menggesa parti itu supaya melanjutkan tempoh penggantungan keanggotaan Ng kepada sekurang-sekurangnya setahun atau terus memecatnya.

Wakil kumpulan itu, Ramesh Rao berkata gesaan itu adalah wajar memandangkan Ng telah melanggar etika sebagai seorang Adun dan menunjukkan contoh tidak baik kepada masyarakat dan menjejaskan nama parti.

Malah, menurutnya ia juga lebih adil memandangkan sebelum ini ada beberapa anggota parti itu yang dikenakan tindakan lebih serius untuk kesalahan yang dibuat mereka.

"Ini adalah keadaan berat sebelah yang terbukti DAP amalkan, mereka selalu kata mereka nak tegakkan keadilan, mereka telus dan bersih, " katanya kepada pemberita selepas cubaan kumpulan berkenaan menyerahkan memorandum kepada pucuk pimpinan DAP di ibu pejabat DAP di sini, Selasa.

Turut hadir, Tony Tan Chee Chong, bekas pembantu peribadi anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok, yang dipecat parti kerana menurutnya hanya disebabkan mempersoalkan kewangan DAP Seputeh.

Ng sebelum ini mengaku bersalah dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya, dan dimaklumkan mengenai penggantungannya selama tiga bulan melalui surat daripada jawatankuasa disiplin parti Ahad lepas.

Ramesh yang juga Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin,  bagaimanapun menyatakan kekecewaannya kerana memorandum yang cuba disampaikan pagi tadi, gagal diserahkan selepas ditolak pihak DAP.

"Saya tak tahu siapa (yang tolak) tapi mungkin 'kerani am', mereka cakap keputusan dah dibuat jadi tak nak terima memo kami," katanya.

Beliau turut meminta pihak Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan sewajarnya terhadap Ng mengikut undang-undang.

"Beliau (Ng) sendiri telah mengaku melakukan kesalahan, dan kesalahan ini jika tidak diambil tindakan akan menjadi contoh tidak baik kepada masyarakat, menunjukkan mereka juga boleh berbuat kesalahan sama," katanya.
Eddie Ng Tien Chi, DAP, Adun Balakong

Artikel Lain