PETALING JAYA: DAP memutuskan untuk kekal dalam Pakatan Rakyat, tetapi akan menamatkan hubungan dan kerjasama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa bertindak tidak jujur dan tidak bermaruah dalam pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 2015 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan minggu lalu. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Hadi sebagai pemimpin Pakatan Rakyat dan akan menghentikan sebarang kerjasama dengan beliaU. "Oleh kerana Hadi adalah pemimpin PAS dalam Pakatan Rakyat, keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hadi secara efektif akan meletakkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam keadaan terawang-awang. "DAP akan bertemu dengan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membincangkan nasib Pakatan Rakyat pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menegaskan, keputusan kekal bersama Pakatan Rakyat kerana ia gabungan pentadbiran yang mewakili aspirasi semua rakyat Malaysia untuk membina Malaysia baharu. "DAP menolak pelaksanaan undang-undang hudud kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan. Rakyat Malaysia yang menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum yang lalu tidak mengundi untuk pelaksanaan hudud tetapi untuk dasar bersama. "Justeru, semua 37 ahli Parlimen DAP akan menolak Rang Undang-Undang Persendirian berkenaan dengan hudud yang dibentangkan oleh Hadi," katanya. Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, DAP juga kesal atas tindakan Hadi yang didakwa bekerjasama dengan Umno untuk melanggari semangat konsensus serta dasar bersama yang meletakkan Pakatan Rakyat dalam bahaya. "Pengkhianatan Hadi terhadap keputusan bersama yang dibuat dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat atas pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Pakatan Rakyat untuk jawatan Menteri Besar Selangor, sehingga mengakibatkan krisis besar yang berlarutan dan hampir menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. "Kegagalan Hadi untuk menepati kata-kata sendiri semasa Majlis Pimpinan PR pada 8 Februari 2015 bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 2015 akan dibincangkan pada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada masa depan," katanya. Beliau menegaskan pembentangan Rang Undang-undang Persendirian oleh Hadi pada 18 Mac 2015 tanpa terlebih dahulu membentangkan kepada Jawatankuasa Pusat PAS serta Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. "Umno telah menghasut PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan pada 27 Mac 2014 semasa sidang Parlimen dengan menjanjikan sokongan kerajaan Persekutuan. "Justeru, DAP menggesa agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak melengahkan masa dan membuat pendirian jelas dan tegas sama ada akan menyokong atau menolak enakmen hudud di Kelantan, serta menjelaskan peranan Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) Umno Kelantan dalam menyokong rang undang-undang hudud," dakwa Lim. Menurutnya, Najib harus menyatakan sama ada beliau menyokong Rang Undang-undang Persendirian yang dibentangkan oleh Hadi.