suria

"Kamu Tahu Siapa Saya?" Tidak Boleh Diguna Pakai Lagi

AWAL bulan ini dua pucuk surat telah disiarkan di akhbar The Star yang memuji sikap seorang pegawai Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana tegas tatkala berdepan dengan seorang kenamaan (VIP) yang cuba menunjuk lagak dan kuasanya.

Perihal pegawai kastam itu menyentuh perasaan penulis kerana mengenang nasib ribuan pegawai kerajaan yang sering dibuli dan disekat menjalankan tugasan mereka mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan. Peraturan tetap menjadi satu peraturan dan tidak sepatutnya mengenal pangkat dan darjat.

Surat kedua yang disiarkan pada 6 Mac adalah ekoran surat yang disiarkan sehari sebelum itu yang mengisahkan kejadian yang telah berlaku di antara jam 8 malam dan 10 malam pada 26 Februari.

Menurut kisah yang disiarkan, VIP berkenaan dan keluarganya cuba melepasi kawalan pemeriksaan Kastam dengan berlonggok-longgok bagasi setelah mendarat di KLIA dari sebuah kota Eropah.

Seorang wanita, yang dikatakan mendahului kumpulannya diminta oleh pegawai kastam itu supaya membenarkan bagasinya diimbas (scan) sebelum mereka bergerak keluar dari kawasan pemeriksaan.

Namun, permintaan pegawai kastam itu, juga seorang wanita, tidak diendahkan walaupun diulangi beberapa kali.

Kemudian, VIP yang meyusul dari belakang wanita tersebut bertanya kepada pegawai kastam yang bertugas di situ: “Kamu tahu siapa saya?"

Pegawai kastam itu dikatakan menjawab secara selamba: “Saya tidak kenal Tuan. Boleh kita teruskan dengan urusan imbasan ini?"

Pengirim surat itu mengakui tidak menggapai sepenuhnya apa yang seterusnya berlaku; namun apa yang cuba dikupaskan ialah ahli politik ternama itu berusaha menyakinkan pegawai kastam itu bahawa dia mempunyai “permit khas” untuk membawa masuk barangan yang dibelinya di luar negara ke Malaysia tanpa perlu membayar cukai atau terlebih dahulu diperiksa oleh pegawai kastam.

Enggan membiarkan keadaan menjadi lebih kecoh, pegawai Kastam itu akhirnya meminta VIP dan keluarganya agar “pergi saja” dari situ supaya dia dapat memberi perhatian kepada lain-lain penumpang yang sudah sampai di situ.

MELONGGARKAN SYARAT UNTUK VIP

Penulis berpendapat apa  yang telah berlaku pada hari itu ialah suatu keadaan yang kerap terjadi; di mana pegawai-pegawai kerajaan dipaksa “melonggarkan syarat” semata-mata untuk menyenangkan orang yang berkuasa atau berpengaruh.

Tidak hairanlah jika perkara seperti ini berlaku di segenap lapisan kerajaan dan pentadbiran dan, boleh dikatakan, ia suatu bentuk pemerasan ke atas pegawai-pegawai kerajaan yang menjalankan tugas, seperti diikrar kepada rakyat jelata.

Dalam hal ini, pegawai Kastam itu sememangnya berhak untuk meminta segala bagasi yang dibawa masuk melalui kawalan pemeriksaan diperiksa atau diimbas terlebih dahulu jika dia merasakan perlu berbuat demikian.

Jika VIP itu mengakui dia mempunyai permit khas untuk membawa masuk barangannya tanpa dikenakan cukai, dia sepatutnya menunjukkan surat berkenaan sebagai bukti kepada pegawai tersebut.

Apa salahnya meminta jasa baik pegawai Kastam itu mengurangkan kadar cukai? Budi bahasa dan budi pekerti; itu saja yang perlu ditunjukkan, bukan memperlihatkan sikap bongkak dan angkuh dengan berkata; "Awak tahu siapa saya?"

Soalnya, kenapa VIP dan keluarganya itu takut bagasi mereka diimbas jika mereka tidak membawa masuk apa-apa benda yang patut dikenakan cukai?

Orang-orang kenamaan kita mesti pelajari dari Presiden Indonesia, Joko Widodo yang dilaporkan berbaris seperti mana warga biasa bila dia daftar masuk untuk penerbangan dari Jakarta ke Singapura ketika menghadiri acara graduasi anak lelakinya.

Jua, pernah dilaporkan Presiden China pernah berbaris untuk membeli makanan dari sebuah kedai.

Penulis menghormati petugas-petugas beruniform penguatkuasaaan, sama ada dari pasukan Kastam, polis, imigresen atau bomba.

Tanpa mereka, bagaimana sesebuah negara dapat berfungsi mengikut peraturan dan undang-undang.

Namun, mereka kerap menjadi sasaran dan kutukan masyarakat yang tidak peka dengan tugasan wira dan wiranita ini yang diikatkan kepada prosedur-prosedur dan peraturan rasmi.

Penulis juga merasa kesal dengan sikap VIP itu yang, sehingga kini enggan menampil diri dan meminta maaf kepada seluruh anggota Kastam, di mana mereka bertugas demi kesenangan rakyat jelata.

Orang seperti VIP itu tidak layak diberi kesempatan lagi menjadi seorang wakil rakyat.

Mereka yang menduduki Dewan Rakyat, Dewan Negara atau Dewan Undangan Negeri perlu menunjuk teladan yang baik dan sikap serta daya kepimpinan yang tinggi bukan bersembunyi di sebalik gelaran ahli Yang Berhormat untuk berselindung di sebalik undang-undang dan peraturan yang mereka sendiri gubalkan.

KLIA, VIP, bagasi, permit khas

Artikel Lain