suria

Sistem Pemanduan Automatik Menjelang 2030 - Miros

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), akan mengemukakan cadangan pelaksanaan sistem pemanduan automatik menjelang 2030 sebagai alternatif terbaharu untuk mengurangkan kadar kemalangan, khususnya melibatkan kenderaan berat.

Setiausaha Agung Miros, Khairil Anwar Abu Kassim berkata, teknologi pemanduan tanpa pemandu itu akan diusulkan kepada kerajaan dan sektor swasta selepas kajian mendapati ia berkesan untuk mencapai matlamat itu.

Katanya, sistem itu memberi tumpuan kepada kenderaan berat yang mencatatkan kadar kemalangan tinggi iaitu 14,781 pada 2013 berbanding 9,059 pada 2012.

"Miros akan membuat kajian terperinci mengenai sistem ini sebelum dilaksanakan mengikut piawaian dan kesesuaian keadaan persekitaran negara.

"Setakat ini, pelaksanaannya di Sweden menjadi rujukan di mana ia mampu menangani masalah pemandu penat atau tertidur ketika mengendalikan kenderaan berat," katanya ketika ditemui pada sidang media 'Mencapai Keselamatan Jalan Raya' pada Selasa.

Khairil Anwar mengakui sistem itu tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat kerana ia perlu membabitkan perubahan keseluruhan sistem jalan raya, iaitu laluan khas untuk kenderaan berat yang akan dipasang dengan teknologi itu.

Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia, Pentadbiran dan Kawalan Kredit Syarikat Taipanco Sdn Bhd, Vijayan Govindasamy berkata, pemandu lori adalah kerjaya profesional kerana memerlukan kecekapan untuk mengendalikan kenderaan berat.

"Setiap pemandu harus mengikuti kursus atau latihan mengendalikan kenderaan berat dengan cara betul bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya," katanya.

Artikel Lain