suria

Hudud: PM Diberi 48 Jam Nyata Pendirian BN - Kit Siang

Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak digesa supaya menyatakan pendirian Barisan Nasional (BN) dalam tempoh 48 jam berhubung isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, pendirian parti pemerintah itu penting dalam menentukan sama ada rang undang-undang berkaitan hudud dapat dibentangkan di Dewan Rakyat atau tidak.

"Najib perlu diberi tempoh lagi 48 jam sehingga mesyuarat Kabinet akan datang iaitu pada Jumaat ini untuk membuat kenyataan mengenai pendirian Ahli Parlimen Umno dan BN terhadap rang undang-undang persendirian berkaitan pelaksanaan hudud di Kelantan,” katanya menerusi kenyataan di sini, Rabu.

Menurut Kit Siang lagi, rakyat tertanya-tanya mengenai pendirian Najib berhubung hudud selepas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan bahawa BN sudah membuat keputusan berhubung perkara berkenaan minggu lalu.

Khamis minggu lalu, Tiong Lai berkata, Najib akan mengumumkan pendirian BN berhubung hudud dan pelbagai pihak melihatnya sebagai pengukur sama ada rang undang-undang berkenaan dapat dibentangkan di Parlimen atau sebaliknya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat pada April ini bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 dilaksanakan di Kelantan.

Hadi sudah mengemukakan notis 14 hari kepada pejabat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 18 Mac lalu sebelum rang undang-undang tersebut dibawa ke Dewan Rakyat.

Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 diluluskan sebulat suara dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac lalu.

DAP, hudud, Najib Razak, Kabinet

Artikel Lain