suria

"Kata Apa Saja, Saya Tetap Jalankan Tanggungjawab Supaya Undang-Undang Dihormati" - KPN

Tan Sri Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Dikritik dan dikecam, lebih-lebih lagi apabila sering mengeluarkan arahan di Twitter, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tetap tidak akan berganjak dengan pendirian dan pendekatan itu kerana ia landasan terbaik untuk bertindak pantas bagi menangani pelbagai isu ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Khalid, dalam wawancara khas sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-208 yang disambut pada 25 Mac setiap tahun berkata, media sosial adalah platform paling pantas untuk pihak polis bertindak terhadap sebarang salah laku, terutamanya ancaman siber.

"Saya beri arahan di Twitter untuk bertindak cepat dan pantas terhadap apa juga perbuatan yang melanggar peraturan, khususnya menghasut dan menyebarkan perkara tak benar.

"Inilah satu cara yang paling segera untuk pastikan perkara ini tidak cepat merebak dan untuk memberitahu masyarakat bahawa sesuatu tindakan itu tidak betul dan perlu dihentikan serta-merta," katanya dalam wawancara yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.

Khalid berkata, masyarakat sering menuntut pihak polis bertindak segera terhadap sesuatu yang dianggap jenayah dan ancaman, tetapi tindakan itu telah disalah erti dengan mengaitkannya dengan hak kebebasan bersuara.

"Masyarakat mahu kita bertindak pantas, bila buat macam itu tidak betul pula...mereka kata langgar hak kebebasan bersuara.

"Polis sentiasa menghormati hak kebebasan bersuara tapi ada hadnya, khususnya di negara kita yang berbilang kaum, bangsa dan agama. Jika ada yang melanggar atau melampaui had, saya macam 'referee' lah yang beritahu perkara itu tak betul dan tindakan akan diambil," katanya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pihak polis memandang serius perkara isu ancaman siber, justeru beliau berpandangan pendekatan "mencegah lebih baik daripada mengubati" adalah pendekatan terbaik untuk mengekangnya.

"Tanpa kawalan dan kekangan, ia mempunyai impak serius terhadap masyarakat majmuk di Malaysia," tegasnya.

Khalid yang memegang jawatan tertinggi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, sepanjang menjalankan tugas, beliau sedia menerima kritikan.

Beliau juga bersikap terbuka terhadap kempen 'Pecat IGP 'yang menggesa beliau meletakkan jawatan baru-baru ini kerana didakwa siri penangkapan polis terhadap penganjur dan aktivis berhubung perhimpunan #KitaLawan sebagai menyalahgunakan kuasa.

"Saya terima segala kritikan asalkan ia membina, tapi saya tak mempedulikan kritikan yang tak membina.

"Mereka boleh kata apa saja, tetapi saya akan jalankan tanggungjawab saya untuk pastikan undang-undang dihormati oleh semua pihak," katanya.

Beliau menegaskan, sekali pun dikritik hebat kerana tindakannya yang didakwa mengugut dan cuba menakut-nakutkan orang awam untuk bersuara, tindakannya itu jelas menunjukkan perkembangan positif apabila terdapat pengurangan dari segi kenyataan-kenyataan berbaur hasutan dan fitnah di laman sosial.

Menganggapnya sebagai cabaran, Khalid berkata pihak polis terlebih dahulu akan mensasarkan pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berbanding orang awam dalam membuat penangkapan.

"Ada pengurangan terhadap aktiviti menghasut di media sosial dengan mengambil tindakan terhadap pemimpin. Saya harap keadaan ini berterusan.

"Saya telah beri peringatan bahawa kami sasarkan pemimpin-pemimpin politik dan NGO dalam kita menguatkuasakan undang-undang kerana mereka ada pengikut," katanya sambil menambah kumpulan pemimpin perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak menyalahgunakan media sosial.

Isu KPN 'main Twitter' khususnya untuk mengeluarkan arahan penangkapan telah dijawab oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan menyatakan tindakan tersebut sebagai profesional, tidak bermotif politik, tidak menyalahi undang-undang dan bukan bertujuan menakut-nakutkan sesiapa.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang berkata, KPN telah menyalahgunakan platform media sosial dan menimbulkan ketakutan apabila secara umum mengarahkan pihak polis mengambil tindakan terhadap individu tertentu.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia S. Arutchelvan, kartunis politik Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau Zunar, dan peguam Eric Paulsen adalah antara aktivis yang ditahan kerana menghasut selepas menulis tweet.






Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan