KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen pada Khamis menjatuhi hukuman penjara dua tahun ke atas seorang pengawal keselamatan kerana mencederakan seorang tukang cuci wanita, warga Indonesia dua tahun lepas. R. Jeevanathan, 29, juga turut dijatuhi hukuman penjara setahun kerana mengurung Marifa Tima, 33. Hakim Zulqarnain Hassan turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Julai 2013. Sementara itu, tiga tertuduh iaitu R. Kanagarajah, 35, dan dua wanita iaitu R. Yarputnedave, 43, dan M. Pusparani, 27, masing-masing didenda RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu, dan masing-masing membayar denda tersebut. Bagi pertuduhan pertama, Jeevanathan bersama Kanagarajah, Yarputnedave dan Pusparani didakwa secara salah mengurung Marifa, selama tujuh hari di dalam sebuah rumah pangsa, Bukit Sri Bintang, Kepong di sini, antara 8 pagi, 10 Julai 2013 hingga 3.30 petang, 16 Julai 2013. Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 343 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata iaitu wayar kabel, batang kayu, topi keledar dan gunting yang mungkin boleh menyebabkan kematian ke atas Marifa di tempat, masa dan tarikh yang sama. Kesemua tertuduh yang diwakili peguam K. Komagan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu. Menurut fakta kes, Marifa yang menyewa sebuah bilik di Kamunting, Perak telah ditendang dan dipaksa menaiki sebuah kereta oleh seorang daripada tertuduh yang kemudiannya membawa mangsa ke rumah pangsa tersebut. Dalam tempoh tujuh hari dikurung di rumah itu, tertuduh telah memotong rambut, mengikat dan mencederakan mangsa di beberapa bahagian badan dengan menggunakan senjata, menurut pertuduhan yang dikemukakan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan memberi pengajaran kepada semua tertuduh kerana mencederakan mangsa sehingga mengalami kecederaan teruk.