suria

e-Filing 2014 Catat Peningkatan - LHDN

PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima sebanyak 498, 429 borang cukai pendapatan (Borang BE) bagi individu menerusi sistem e-Filing bagi taksiran cukai 2014 sehingga tengah hari Khamis.

Menurut Pegawai Perkhidmatan Pelanggan, Jabatan Khidmat Korporat LHDN, Masrun Maslim, jumlah tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 11.32 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Setakat ini, sistem berjalan lancar dan pihak LHDN mendapat maklum balas yang baik daripada mereka yang menggunakan e-filing. Cuma aduan yang diterima apabila mereka belum dapat membiasakan diri dengan paparan e-Filing yang terkini digunakan LHDN.

"Hal ini kerana, pada tahun ini kami mula menggunakan 'single sign'. Apabila pengguna log masuk sistem e-filing mereka juga boleh membuat urusan lain dengan LHDN pada masa yang sama," katanya ketika dihubungi mStar Online  pada Khamis.

Beliau berkata, paparan terbaharu e-Filing itu membolehkan penggunan mengemaskini maklumat diri melalui butang e-kemaskini, bayar cukai melalui byrHasil, daftar hasil melalui e-Daftar dan lain-lain.

"Tidak tahu cara untuk menyahaktifkan pop-up blocker  pada komputer mereka adalah antara rungutan yang diterima terhadap paparan terkini e-Filing  dan bagi memudahkan pengguna, garis panduan untuk menutup pop-up blocker itu disediakan," katanya.

Ditanya mengenai pulangan cukai terlebih bayar bagi mereka yang menggunakan sistem e-filing, Masrun berkata, LHDN akan membuat pemulangan semula dalam tempoh 30 hari bekerja.

"Tetapi jika borang cukai mereka ada maklumat yang meragukan kami perlu melakukan audit terlebih dahulu. Biasanya tempoh pemulangan semula cukai terlebih bayar itu akan lebih daripada 30 hari bekerja," katanya.

Berhubung dengan sasaran pembayar cukai yang akan menggunakan sistem e-Filing, beliau berkata, LHDN menjangkakan empat juta borang akan menggunakan sistem berkenaan tahun ini.

"Tarikh akhir untuk mengembalikan borang penyata cukai pendapatan bagi Borang BE dan bayaran baki cukai kena dibayar melalui sistem e-Filing telah dilanjutkan daripada 30 April kepada 15 Mei ini.

"Bagi mereka yang mengisi borang secara manual, tarikh akhir kekal pada 30 April ini dan penalti akan dikenakan sekiranya mereka gagal mengisi borang selepas tarikh tersebut," katanya.

Sistem e-Filing merupakan aplikasi percuma yang disediakan oleh LHDN untuk memudahkan pembayar cukai melengkap, mengira dan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) secara elektronik melalui internet.

e-Filing, LHDN, cukai 2014, Masrun Maslim

Artikel Lain