suria

PM Akan Hadiri Forum Boao Untuk Asia

Najib Tun Razak.
BOAO (Hainan): Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual tiba di Boao, Wilayah Hainan di China pada Jumaat untuk menyertai Forum Boao Untuk Asia 2015 (BFA). 

Delegasi rasmi Najib akan terdiri daripad Duta Khas Malaysia ke China, Tan Sri Ong Ka Ting, Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri, Datuk Ramlan Ibrahim dan Duta Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya.

Ini adalah lawatan rasmi kelima Perdana Menteri ke China tetapi penyertaan pertama di forum itu, yang bermodelkan Forum Ekonomi Dunia yang diadakan setahun sekali di Davos, Switzerland. 

BFA mempunyai alamat tetap di Boao, sebuah bandar terletak di timur bandar raya tepi pantai Qionghai di Hainan, China.

Forum selama empat hari yang bermula pada Khamis bertemakan, 'Asias Future: Towards a Community of Common Destiny' dihadiri 16 pemimpin asing, termasuk Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Pemimpin Malaysia itu dijadual menyampaikan ucapan pada pembukaan sesi pleno pada Sabtu bersama beberapa pemimpin asing lain.
Presiden China, Xi Ping akan menyampaikan ucaptama pada sesi berkenaan.

BFA adalah forum paling berprestij dan penting untuk pemimpin dalam kerajaan, perniagaan dan akademik di Asia dan benua lain untuk berkongsi visi mengenai pelbagai isu mendesak di rantau yang dinamik ini dan juga dunia keseluruhannya.

Ia diwujudkan selepas krisis kewangan Asia pada 1998 apabila ekonomi di rantau ini berasa mereka memerlukan platform serantau untuk bekerjasama dan menangani pelbagai cabaran bagi mengelak satu lagi krisis kewangan atau krisis lain tanpa persediaan dan perpaduan.

Menang-menang dan pembangunan bersama menjadi prinsip panduan forum itu sejak diwujudkan.

Setiap tahun, BFA mengumpul lebih 2,000 pemimpin kerajaan, ketua pegawai eksekutif dan pakar ekonomi untuk meneroka pelbagai isu paling mendesak di Asia serta pasaran sedang muncul.

Pm, Forum Boao

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain