JOHOR BAHARU: Abu mayat dua daripada lima ahli perniagaan yang maut dipercayai akibat terhidu gas di Nanning, China pada 16 Mac lalu dibawa pulang ke Johor pada Jumaat. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata abu itu milik Chin Yoke Weng, 61, yang juga pengerusi persatuan peniaga kecil Johor Baharu dan Ng Wei Shan, 28. Ia diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Nanning Wuxu, Nanning, ke Lapangan Terbang Antarabangsa, Changi, Singapura sebelum dibawa masuk ke Johor melalui jalan darat. Tee berkata tiga lagi mayat ahli perniagaan dijangka tiba Khamis depan sebelum ditanam di tanah perkuburan di sini. "Ketiga mayat itu lambat sampai kerana perlu melalui proses bedah siasat yang dilakukan pihak berkuasa China. "Saya mengucapkan terima kepada kedutaan Malaysia di China dan kerajaan China kerana kerjasama mereka bagi melicinkan proses membawa pulang kesemua mayat," katanya. Kelima-lima ahli perniagaan itu dilapor terhidu gas ketika menginap di sebuah apartmen. Kejadian pada awal pagi itu turut mengorbankan Yay Chong Chai, 42, Seah Foon Hong, 48, dan Tan Bian Chiang, 41, sementara isteri Seah, Lim Kim Lian, 46, terselamat.