suria

Imigresen Ambil Langkah Atasi Masalah Penarikan Anggota Rela Di Depot Tahanan

Mustafa Ibrahim.

PORT DICKSON: Jabatan Imigresen akan mengambil beberapa langkah berikutan tindakan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) menarik anggotanya daripada menjalankan tugas kawalan di 12 depot tahanan Imigresen di seluruh negara hujung bulan ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, ini adalah masalah baharu kepada jabatan itu untuk mengatasi masalah kekurangan anggota di depot tahanan.

"Pihak Rela menyatakan mereka tidak ada peruntukan untuk membayar elaun kepada anggotanya yang bertugas di 12 depot tahanan Imigresen di seluruh negara. Sebanyak 840 anggota Rela terlibat dengan elaun dibayar oleh Rela. 

"Mulai akhir bulan ini Rela menyatakan mereka tidak mempunyai peruntukan dan meminta Jabatan Imigresen menimbang untuk membayar kepada anggota Rela.

"Malangnya kami juga tidak mempunyai peruntukan yang banyak untuk membayar elaun anggota Rela itu membabitkan jumlah yang banyak," katanya pada sidang media selepas perbarisan tamat latihan 230 Kadet Imigresen di Akademi Imigresen Malaysia di sini, Sabtu.

Mustafa berkata, ekoran itu jabatannya mengadakan perbincangan bagaimana mengatasi masalah tersebut.

Beliau berkata, satu daripada cara mengatasi masalah itu ialah menempatkan anggota baharu Jabatan Imigresen di depot untuk mengambil alih tugas kawalan yang dibuat anggota Rela sebelum ini.

"Dalam masa yang sama kami masih berbincang dengan Rela untuk mengurangkan jumlah anggotanya. Kami masih memerlukan anggota Rela untuk menjaga kawasan perimeter, pagar dan sebagainya.

"Untuk itu, mungkin kami memerlukan antara 10 dan 15 anggota bagi satu-satu depot. 

"Jadi dengan jumlah yang kurang ini kami mohon Rela menimbangkan balik membayar elaun kepada anggota mereka dan kalau pihak Rela tidak mampu pun bermakna dengan pengurangan anggota itu kami boleh mohon peruntukan Kementerian Dalam Negeri untuk membayar elaun anggota Rela yang terlibat," katanya.

Artikel Lain