suria

Rakyat Malaysia Di Yaman Akan Dipindahkan Secepat Mungkin

Penduduk Yaman membawa beberapa individu yang cedera menggunakan sebuah kenderaan di Aden, selatan negara itu, Khamis lalu. Kejadian itu berikutan serangan udara oleh tentera bersekutu yang diketuai oleh Arab Saudi. Foto AFP

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia di Yaman yang terperangkap berikutan serangan udara oleh tentera bersekutu yang diketuai oleh Arab Saudi akan dipindahkan dengan secepat mungkin, kata Kementerian Luar pada Sabtu.

Menurut kenyataan kementerian itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pertahanan bersama Kedutaan Malaysia di Sana'a kini bekerjasama rapat untuk menyelaraskan tindakan serta terus memantau situasi di negara itu.

"Oleh kerana situasi di Yaman masih bergolak, kementerian ingin menasihatkan semua rakyat Malaysia supaya mengelak atau menangguhkan semua perjalanan yang tidak perlu ke Yaman," kata kenyataan itu.

Rakyat Malaysia di Yaman dinasihatkan supaya mendaftar dengan Kedutaan Malaysia yang terletak di Iran Street, Hadda.

Orang ramai boleh menghubungi Wisma Putra di talian 03-8887 4300, 8887 4265 semasa waktu pejabat dan di talian 03-8887 4570 untuk maklumat lanjut dan terkini berhubung dengan perkembangan di Yaman.

Media melaporkan bahawa tentera bersekutu yang diterajui oleh Arab Saudi telah melancarkan serangan udara ke atas kedudukan puak pemberontak Houthi di ibu negara Yaman itu ketika perang saudara di negara Teluk yang strategik itu mengancam untuk merebak menjadi peperangan serantau.

Yaman, Wisma Putra

Artikel Lain