PETALING JAYA: Veteran DAP, Lim Kit Siang mencadangkan beberapa pemimpin dari Sabah dan Sarawak yang berpotensi untuk mengetuai negara ini sekiranya gabungan 'Selamatkan Malaysia' ditubuhkan. Menerusi kenyataan pada Ahad, Lim berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dari Sarawak adalah antara pemimpin yang layak menduduki kerusi itu. Selain itu Lim juga mencadangkan pemimpin Sabah, iaitu Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirli dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dari Sarawak. "Orang Sabah atau Sarawak juga boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia jika gabungan ini berhasil selepas PRU-14 nanti. "Walau bagaimanapun calon berkenaan mestilah menjadi Ahli Parlimen pada masa ini. Jika kerajaan campuran ini mendapat sokongan majoriti daripada 222 Ahli Parlimen, maka akan ada seorang perdana menteri yang baharu," katanya. Pada 19 Mac, Dewan Undangan Negeri Kelantan sebulat suara meluluskan pindaan kepada undang-undang Jenayah Syariah II Kod (1993). Pada 22 Mac, Lim mencadangkan pembentukan gabungan dua parti baharu yang dikenali sebagai 'Selamatkan Malaysia' untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Cadangan itu dibuat selepas PAS mahu mengemukakan rang undang-undang persendirian berkaitan hudud di Dewan Rakyat.