KOTA KINABALU: Perintah berkurung di perairan enam daerah di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone) dilanjut mulai Selasa hingga 15 April. Pelaksanaan bagi fasa ke-17 ini bermula dari pukul 7 malam hingga 5 pagi melibatkan jarak tiga batu nautika dari pantai perairan Sandakan, Kinabatangan, Kunak, Lahad Datu, Tawau dan Semporna. Fasa ke-16 berakhir pada Isnin. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata ia dilanjutkan bagi menjamin tahap keselamatan pengguna perairan serta penduduk di kawasan daratan ESSZone termasuk pelancong. "Arahan ini memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan segala pergerakan bot penceroboh serta jenayah rentas sempadan, aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan senjata api terkawal," katanya dalam satu kenyataan. Perintah berkurung di ESSZone dilaksana sejak 19 Julai tahun lalu.