suria

Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Bermula Selasa

BINTULU: Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, projek pertama yang dibincangkan ketika Malaysia ditubuhkan pada 1963, bermula Selasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan naik taraf jalan sedia ada ke Empangan Bakun di KM32 dari jalan utama Bintulu-Miri.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof juga dijangka hadir.

Pembinaan ini akan diteruskan mengikut segmen pada suku ketiga tahun ini, bermula dari Tanjung Datu yang terletak paling hujung di barat Sarawak.

Jalan sepanjang 40km itu buat pertama kali akan menghubungkan jalan di antara Tanjung Datu dan Sematan.

Ia dijadualkan siap pada akhir 2018.

Pada masa yang sama, jalan sepanjang 740km dari Sematan ke Miri di utara Sarawak, akan memulakan pembinaan pada suku ketiga 2016 dan dijadualkan siap pada suku pertama 2023.

Bagi bahagian Tedungan ke Merapok, iaitu bahagian di Sarawak yang diapit di antara Brunei akan bermula pada awal tahun 2018. Ia juga dijadualkan siap pada awal 2023.

Lebuhraya Pan Borneo kebanyakannya akan mengikut laluan jalan raya sedia ada. Ia melibatkan pelebaran berukuran 3 meter dari jalan tunggal kepada dwi-laluan.

Pada masa ini keadaan jalan raya ini memerlukan penyelenggaraan besar, disebabkan oleh penggunaan berat di lorong tunggal.

Tempoh perjalanan adalah perlahan, dianggarkan 19 jam di antara Sematan dan Miri.

Berdasarkan kajian Kerajaan terhadap Lebuhraya Utara Selatan di Semenanjung Malaysia, pembinaan lebuh raya mendorong kesan empat kali ganda kepada ekonomi.

Artikel Lain