"Pada dasarnya mereka datang ke sini untuk mencari komputer tetapi mereka masih belum merampas apa-apa.
"Mereka berada di sini kerana cerita mengenai Majlis Raja-Raja," kata peguam Syahredzan Johan ketika dihubungi.
Beliau bercakap dari pejabat portal itu di Mutiara Damansara kira-kira pukul 6.30 petang Isnin.
Empat hari lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menulis di akaun Twitter @KBAB51 bahawa polis akan memanggil ketua editor portal dalam talian itu berhubung artikel yang diterbitkan.
Rabu lalu, portal itu memuat naik artikel yang menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja telah menolak cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 semasa mesyuarat pada 11 Mac.
Artikel tersebut yang memetik sumber-sumber berkata, penolakan terhadap pindaan Akta Persekutuan telah dibuat pada mesyuarat yang dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu atau wakil-wakil mereka.
Namun pada Khamis, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad menafikan mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai hudud di Kelantan dan telah membuat laporan polis agar siasatan mengenai perkara itu dapat dijalankan.