suria

Adun DAP Selangor Akui GST Bukan Isu Untuk Dipertikai

Ng Suee Lim
SHAH ALAM: Seorang anggota Dewan Undangan Negeri Selangor daripada DAP pada Selasa mengakui bahawa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang dilaksanakan mulai esok bukan isu yang perlu dipertikai.

Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan), ketika membahaskan titah Sultan Selangor pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), berkata isu yang sepatutnya perlu diberi perhatian adalah perkara melibatkan pentadbiran.

"Saya setuju GST (CBP) tidak dijadikan isu di negara ini cuma ia melibatkan soal pengurusan," katanya.

Ng berkata demikian bagi menjawab celahan Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) yang menyatakan sikap pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang menjadikan pelaksanaan CBP sebagai isu malah menyifatkan kaedah percukaian sama yang dijalankan di Singapura tidak dibangkitkan rakyat negara itu sebagai beban.

Sebelum itu, dalam perbahasan sama, Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) menuntut Ng mengemukakan fakta berhubung dakwaan Adun itu yang mengatakan kerajaan persekutuan membelanjakan peruntukan besar dalam mengadakan kempen CBP.

Bagaimanapun, Ng gagal mengemukakan fakta terperinci berhubung dakwaannya itu sebaliknya mengalihkan pertanyaan Mohd Shamsudin dengan meminta Adun tersebut merujuk kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Mohd Shamsudin dalam hujahnya menegaskan pelaksanaan CBP adalah sebagai langkah mempelbagai perolehan pendapatan negara selain memenuhi keperluan pembangunan yang semakin pesat di negara ini.

Beliau melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang didakwa menuduh kerajaan persekutuan melaksanakan CBP bagi membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Kerajaan negeri turut mendakwa kerajaan persekutuan kini menuju bankrap dan disebabkan itu mereka sengaja mengaitkan GST (CBP) dan proses penstrukturan industri air Selangor dengan keadaan tersebut.

"Tiada bukti menunjukkan kita bankrap atau pun menuju bankrap kerana tahap hutang negara kini masih pada paras terkawal. Pada saya, keadaan yang tidak benar itu boleh dianggap sebagai sangkaan jahat," katanya kepada pemberita di lobi DUN Selangor.

Terdahulu, Mohamed Azmin ketika menjawab soalan tambahan bagi pertanyaan lisan Ng mendakwa kerajaan persekutuan kini hampir muflis sehingga menyebabkan CBP terpaksa dilaksanakan.

GST, Ng Suee Lim

Artikel Lain