suria

Muhammad Shafee Fail Saman Fitnah Terhadap Majlis Peguam

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memfailkan saman fitnah terhadap Majlis Peguam dan tiga lagi individu.

Ia berhubung usul untuk dibincangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) majlis itu berkenaan kelakuannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhammad Shafee memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Sivil pada 12 Mac lepas melalui firma guaman Tetuan Shafee  and  Co. Media memperoleh writ saman Selasa.

Mahkamah menetapkan 14 April untuk pengurusan kes saman itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, peguam itu menamakan peguam Tommy Thomas,  bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri V.C. George, Majlis Peguam dan Christopher Leong yang ketika itu presiden Majlis Peguam, sebagai defendan pertama hingga keempat.

Beliau mendakwa pada 28 Februari lepas, Tommy yang disokong oleh George telah menerbit dan mengemukakan usul untuk dibincangkan oleh AGM itu pada 14 Mac berhubung kelakuannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam rayuan kes liwat Anwar di Mahkamah Persekutuan.

Peguam itu berkata Majlis Peguam dan Leong pada 9 Mac telah menerbitkan usul itu di laman web Badan Peguam yang bertajuk 'Agenda and Motions for the 69th Annual General Meeting of the Malaysian Bar' yang boleh diakses oleh semua anggota badan itu.

Usul itu antara lain mengenai kelakuan Muhammad Shafee sebagai ketua pendakwa raya yang mengadakan jerayawara sesi penjelasan berhubung kes liwat Anwar itu.

Muhammad Shafee mendakwa berikutan penerbitan usul itu, kesemua defendan dengan niat jahat telah menfitnah dan memburuk-burukkannya bagi memusnahkan reputasi dan kerjaya undang-undangnya.

Beliau berkata penerbitan usul itu antara lain membawa maksud beliau adalah seorang peguam yang tidak beretika dan tidak jujur yang tidak mempunyai integriti, berkelakuan teruk dan memualkan yang telah memburukkan profesion undang-undang.

Ia juga bermaksud beliau adalah tidak bebas, bermotifkan politik dan ejen kepada parti politik Umno, yang diupah untuk mendapatkan sabitan terhadap Anwar dan mempunyai tabiat untuk mempromosikan diri dan mengiklankan diri sendiri sebagai pendakwa yang terkemuka.

Dalam pernyataan tuntutannya, Muhammad Shafee antara lain menuntut suatu deklarasi bahawa usul itu adalah mala fide kerana tujuan usul itu adalah semata-mata untuk memalukan dirinya dan AGM itu bukanlah suatu forum yang betul untuk mendengar usul tersebut.

Peguam itu juga menuntut suatu deklarasi bahawa usul itu adalah ultra vires kerana tidak mempunyai butir-butir keperluan dan fakta asas yang penting mengenai salah laku plaintif yang didakwa, ganti rugi am, dan kos.

Beliau juga memohon injunksi interim bagi menghalang kesemua defendan atau melalui ejen-ejen mereka daripada mengusulkan usul itu pada AGM itu dan injunksi kekal bagi menghalang defendan membenarkan usul itu dibincangkan pada AGM pada masa depan.
Muhammad Shafee, Majlis Peguam

Artikel Sebelum

Artikel Lain