suria

Dua Pemandu, Seorang Penumpang Maut Nahas Babitkan Tiga Kenderaan Berat

MELAKA: Dua pemandu kenderaan berat dan seorang penumpang maut dalam kemalangan melibatkan dua treler dan sebuah lori di KM 221.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Tol Simpang Ampat, Alor Gajah di sini, Rabu.

Pemandu treler Salamat Nawar, 53, pemandu lori Ahmad Pauzi Morad, 47, dan penumpang treler yang dipandu Salamat, warga Indonesia Ferdie Mnune, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan dalam kejadian kira-kira 5 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila treler dipandu Salamat membawa bersama anaknya, Zulhairi, 21, dan Ferdie dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bahru melanggar belakang sebuah treler yang dipandu Norsuhairi Zuldin, 47.

"Ketika kejadian treler yang dipandu Salamat berada di lorong kiri sebelum melanggar belakang treler yang dipandu Norsuhairi.

"Pada masa sama, treler yang dipandu Salamat pula dilanggar sebuah lori yang dipandu Ahmad Pauzi dari arah belakang menyebabkan ketiga-tiga mangsa yang terlibat meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah dipercayai akibat tersepit," katanya dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Beliau berkata, ketiga-tiga mayat berkenaan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat, manakala Zulhairi dan Norsuhairi tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah Dzulkarnain Abd Halim berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 5.22 pagi dan sampai di lokasi kejadian 16 minit kemudian.

Beliau berkata, operasi mengeluarkan semua mangsa mengambil masa kira-kira satu jam disebabkan keadaan kenderaan terperosok dan remuk akibat perlanggaran ketiga-tiga kenderaan berat itu.

"Kita mengambil masa kurang daripada 10 minit untuk mengeluarkan mangsa pertama yang tersepit dalam kenderaan belakang sekali menggunakan peralatan menyelamat yang ada.

"Namun mangsa kedua dan ketiga yang berada dalam kenderaan tengah terpaksa dikeluarkan menggunakan bantuan dua kren besar kerana kenderaan tersebut telah terperosok pada belakang kenderaan pertama dan ketiga yang menyebabkan ia mengambil sedikit masa," katanya.

Beliau berkata operasi tersebut melibatkan dua jentera dan satu unit Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) dari balai Alor Gajah serta sebuah jentera dari Balai Rembau dan dua unit Motosikal Gerak Cepat (RIM) dari Balai Seremban 2 Negeri Sembilan dengan jumlah kekuatan anggota seramai 24 orang termasuk tiga pegawai. -- Bernama


Alor Gajah, Salamat Nawar, EMRS

Artikel Lain