KUALA LUMPUR: Lembaga Pengampunan menolak petisyen yang dibuat oleh keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi ketua pembangkang itu berhubung sabitannya terhadap kes liwat. Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh memberitahu mahkamah pada Rabu bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu menolak permohonan yang dibuat oleh keluarga Anwar. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) pada Rabu. Penolakan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan itu bermakna Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh. Sementara itu, Bernama melaporkan Anwar hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen berdasarkan Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan. Amarjeet Singh berkata, berikutan keputusan lembaga pengampunan itu, mahkamah telah menolak permohonan Ketua Pembangkang itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang melarangnya menghadiri sidang Dewan Rakyat. Hakim, Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri Amarjeet Singh dan peguam Latheefa Koya yang mewakili Anwar.