suria

Pengganti Ketua Pembangkang Diumum Lepas PRK Permatang Pauh

KUALA LUMPUR: Pengganti jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen hanya akan ditentukan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh diadakan.

Ketua Whip DAP, Anthony Loke berkata, pakatan pembangkang hanya akan menentukan calon yang layak menduduki jawatan itu apabila selesai urusan PRK Permatang Pauh yang akan ditandingi wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kita akan membuat keputusan selepas itu (PRK) berkenaan kedudukan Ketua Pembangkang.

"Jadi soal isu ketua pembangkang itu belum timbul lagi, kita hanya akan buat keputusan selepas proses pilihan raya kecil...sekiranya ada," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Lembaga Pengampunan pada Rabu dilaporkan menolak petisyen yang dibuat oleh keluarga Anwar untuk mendapatkan pengampunan diraja berhubung sabitannya terhadap kes liwatnya.

Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh memberitahu mahkamah pada Rabu bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu menolak permohonan yang dibuat oleh keluarga Anwar.

Amarjeet berkata demikian kepada pemberita di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) pada Rabu.

Bagaimanapun Loke yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP berkata sehingga kini pakatan pembangkang masih belum menerima maklumat rasmi berhubung status permohonan tersebut.

"Bagi kami, kerusi Permatang Pauh belum lagi dikosongkan sebab Speaker Dewan Rakyat masih belum memaklumkan kekosongan kerusi itu.

"Sekiranya kerusi Permatang Pauh diumumkan kosong, sudah tentu konsensus paling utama di dalam Pakatan Rakyat adalah mengenai calon yang akan ditentukan pimpinan parti PKR," katanya.

Liwat, Permatang Pauh

Artikel Lain